Grab The Promo
Grab The Promo

Struktur Tambang baru untuk Perkhidmatan LRT & Monorel



Pengguna  Pas Bulanan MyRapid akan terkesan dengan struktur tambang baru ini. Kenaikan perbelanjaan bulanan untuk MyRapid mungkin lebih daripada 100% daripada perbelanjaan bulanan semasa. Sebagai contoh cik iena merupakan pengguna Pas bulanan MyRapid . Berkuatkuasa 2 Disember 2015  perbelanjaan untuk MyRapid akan meningkat daripada RM100 kepada RM 204 tambah (RM10 - untuk premium nominal RM10.00 dikenakan setiap kali pembaharuan MyRapid Smart 30 Bulanan.)


Struktur Tambang baru untuk Perkhidmatan LRT & Monorel
Gambar tiada kaitan dengan tajuk tapi gambar ni cik iena ambil semasa sedang menunggu LRT untuk ke tempat kerja baru-baru ini.


Kadar tambang menggunakan MyRapid Smart 30 Bulanan daripada Bandar Tun Razak ke KLCC adalah RM3.40  Manakala Kadar tambang menggunakan Touch & Go adalah RM 3.70 dan kadar tambang menggunakan tunai atau token adalah RM4.20 . Kadar tambang semasa iaitu sebelum 2 Disember 2015 adalah RM3.30 dari bandar Tun Razak ke KLCC.


Cik iena membuat perkiraan MyRapid Smart 30 Bulanan

RM3.40 * 2 (Pergi balik sehari) = RM 6.80
RM6.80 * 30 Hari (Hampir setiap hari cik iena menggunakan LRT) = RM 204
RM 204 TAMBAH  premium nominal RM10.00 dikenakan setiap kali pembaharuan MyRapid Smart 30 Bulanan

= RM 214  SEBULAN. 
KADAR SEMASA CIK IENA MENGGUNAKAN PAS BULANAN MYRAPID RM100 sahaja .

Perkiraan Menggunakan Touch & Go
RM 3.70 *2  (Pergi balik sehari) =  RM7.40
RM7.40 * 30 (Hampir setiap hari cik iena menggunakan LRT) = RM222


Perkiraan Menggunakan Token atau Tunai
RM4.20 * 2 (Pergi balik sehari) = RM 8.20
RM8.20 * 30 (Hampir setiap hari cik iena menggunakan LRT) = RM252


Kadar Semasa RM 3.30 sebelum struktur tambang baru di implimentasikan. Selepas struktur tambang baru di implimentasikan kadar kenaikan tambang adalah RM0.90 menjadikan tambang sehala RM4.20 daripada bandar tun razak ke KLCC . 


Kadar Perbelanjaan MyRapid Semasa Cik iena adalah RM100 dimana selepas 2 Disember 2015 ianya akan dimansuhkan

Untuk cik iena, cik iena perlu gunakan  MyRapid Smart 30 Bulanan untuk menjimatkan perbelanjaan cik iena . Dimana RM 214 sebulan berbeza jika menggunakan Touch & Go RM 222 Sebulan (JIMAT RM8) . Jika menggunakan tunai atau token pasti lah tak jimat kan , RM 252 (JIMAT RM38) . RM38 tu boleh buat belanja makan tau . Hmmm ouhhh Malaysia. Kerajaan menaikkan Minyak dan tol untuk menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan Awam dan sekarang perkhidmatan awam pun naik harga. Mungkin kerajaan nak sarankan rakyat naik basikal pergi kerja kot. Gaya Hidup sihat katanya (^_~)




Untuk cik iena kenaikan nya sangat banyak . Mungkin pada pak menteri ianya cuma sedikit tapi tidak pada cik iena T__________T
Belum masuk kos nak balik kampung setiap minggu lagi. Kos-kos pergi event lagi . Selepas ini Malaysia mungkin mengalami kenaikan harga lagi untuk mana-mana barangan atau perkhidmatan yang berkait dengan kadar kenaikan pelbagai benda di Malaysia sekarang ni. Kos hidup kita semakin meningkat sekarang. Ingatkan dengan adanya GST ni kerajaan akan turunkan harga barang ke harga perkhidmatan ke rupanya semakin teruk dan teruk. Makin teruk kami yang bayar segala mala cukai ni walaupun pak jib kata BRIM dinaikkan TAPI PAK JIB OIIIIII kami tak dapat BRIM pun Pak Jib Oiiii. Ini adalah tidak adil !!!!!!!!!!!!!!!! Sakit pulak hati kita dengan pakjib nie selama ni malas nak ambil kisah tapi kene ambil kisah juga. Tak sabar nak tunggu pilihanraya akan datang. Harap rakyat dapat buka minda buka mata. Lakukan lah transformasi !!!



Struktur Tambang baru untuk Perkhidmatan LRT & Monorel


Okay panjang cik iena bebel. Ni cik iena copy dari website MyRapid


SIARAN MEDIA


PRASARANA SELARAS STRUKTUR TAMBANG LRT, MONOREL -Perkenal Mekanisme Tambang Berbeza Antara Tunai dan Bukan Tunai Untuk Galak Penjimatan


KUALA LUMPUR, 2 November 2015 – Demi membetulkan struktur tambang berbeza untuk perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang dan Monorel KL selama hampir dua dekad, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan struktur tambang baru untuk ketiga-tiga perkhidmatan berkenaan.

Serentak dengan pengumuman berkenaan, Prasarana  turut memperkenalkan mod pembayaran berbeza untuk tunai dan bukan tunai bagi menggalakkan penjimatan di kalangan penumpang di bawah skruktur baru itu.

Bercakap dalam satu majlis taklimat media di Kuala Lumpur, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Azmi Abdul Aziz berkata struktur tambang yang digunakan sekarang adalah berbeza untuk ketiga-tiga perkhidmatan itu.

Sementara LRT Laluan Kelana Jaya menggunakan kadar tambang yang berbeza antara stesen di  Kawasan Pusat Perniagaan (CBD) dan yang bukan di Kawasan Pusat Perniagaan (non-CBD), LRT Laluan Ampang pula menggunakan perkiraan  berdasarkan kepada jumlah stesen yang dilalui, manakala Laluan Monorel KL pula menggunakan formula perkiraan berdasarkan kepada jarak perjalanan.

“Untuk struktur tambang yang lebih adil dan konsisten, struktur tambang sekarang akan diselaraskan kepada perkiraan berdasarkan kepada jarak perjalanan – sama seperti amalan yang digunakan oleh operator-operator rel lain di seluruh dunia.

“Di bawah struktur tambang baru, para penumpang akan dikenakan bayaran masuk atau ‘flag fall’ dengan ditambah dengan jarak perjalanan sebenar, yang kemudiannya didarab dengan kadar yang berpadanan. Kadar yang digunakan akan berkurangan semakin jauh jarak perjalanan,” kata Azmi.

Bagi memastikan para penumpang menikmati penjimatan daripada penyelarasan struktur tambang LRT dan monorel, Kerajaan telah meminta Prasarana untuk memperkenalkan mekanisma perbezaan tambang di mana penumpang yang menggunakan mod pembayaran bukan tunai atau ‘cashless’ akan menikmati diskaun untuk jarak perjalanan berbanding dengan mereka yang membeli token untuk pembayaran tunai pada setiap perjalanan.

“Sebagai insentif tambahan, penumpang yang memilih menggunakan “MyRapid Smart 7 Mingguan” atau “MyRapid Smart 30 Bulanan” akan masing-masing menikmati diskaun antara 18 dan 26 peratus, dan antara 20 sehingga 35 peratus untuk kadar jarak perjalanan berbanding dengan yang menggunakan wang tunai,” jelas Azmi.

Dengan pengenalan struktur tambang baru ini, para penumpang untuk sektor-sektor tertentu akan sebenarnya membayar tambang yang lebih rendah atau sama berbanding dengan tambang yang mereka dikenakan sekarang.

“Sebagai contoh, penumpang antara Chan Sow Lin dan PWTC akan hanya membayar RM2.30 secara tunai berbanding dengan RM2.40 sekarang. Mereka akan hanya perlu membayar RM1.90 dengan menikmati diskaun tambahan 40 sen jika menggunakan kad “MyRapid Smart 30 Bulanan”.

“Penumpang antara Imbi and Dato’ Keramat pula akan hanya membayar RM3.40 secara tunai berbanding dengan kadar tambang sekarang RM4.40. Dan, mereka akan hanya membayar RM2.80 sekiranya menggunakan “MyRapid Smart 30 Bulanan”, kata Azmi.

Sementara itu, para penumpang antara KL Sentral (Laluan Kelana Jaya) dan KLCC akan perlu membayar RM2.40, yakni tambahan 80 sen secara tunai berbanding dengan kadar bayaran RM1.60 hari ini.

Bagaimanapun, mereka akan hanya membayar tambahan 40 sen sekiranya menggunakan “MyRapid Smart 30 Bulanan” atau tambahan 50 sen sekiranya menggunakan kad “MyRapid Smart 7 Mingguan”.

“Kami amat menggalakkan para penumpang khususnya yang menggunakan perkhidmatan kami setiap hari untuk menggunakan sama ada kad “MyRapid Smart 7 Mingguan” atau  “MyRapid Smart 30 Bulanan” bergantung kepada corak perjalanan masing-masing untuk menikmati penjimatan sebanyak mungkin,” kata Azmi.

Tambah beliau, kadar tambang baru ini adalah lebih realistik untuk menyeragam dan menyelaraskan struktur tambang untuk perkhidmatan LRT dan monorel, yang tidak pernah  mengalami sebarang semakan kenaikan untuk lebih 13 tahun walaupun trend kenaikan sara hidup yang berterusan sepanjang tempoh berkenaan.

Azmi berkata struktur baru tambang itu akan berkuatkuasa pada 2 Disember 2015 dan para penumpang boleh mula membeli kad “MyRapid Smart 7 Mingguan” dan “MyRapid Smart 30 Bulanan” dengan premium nominal RM2.50 dan RM10.00 untuk kedua-dua produk tersebut.

Kad-kad ini boleh dibeli di Pejabat Perkhidmatan Pelanggan  Rapid KL di stesen-stesen LRT dan  monorail mulai 15 November ini atau apabila kad-kad perjalanan Rapid KL yang mereka gunakan sekarang tamat tempoh.

“Satu daripada kelebihan utama kad baru “MyRapid Smart 7 Mingguan” dan MyRapid Smart 30 Bulanan” adalah para penumpang boleh membawa ke hadapan baki daripada nilai simpanan  kad ke bulan berikutnya. Ini berbeza dengan kad-kad bulanan yang digunakan sekarang di mana perjalanan-perjalanan yang tidak digunakan akan lupus bersama-sama dengan kad berkenaan,” kata Azmi.

Tambah Azmi, warga emas, golongan kelainan upaya, dan para pelajar akan terus menikmati diskaun 50 peratus daripada kadar tunai dalam struktur baru yang akan digunakan.




Untuk Maklumat lanjut tentang kadar tambang yang lain anda boleh baca di www.myrapid.com.my . Ini baru MyRapid, dijangka KTM pun akan membuat kenaikan kadar tambang . Ohh Malaysia, semuanya naik . Nasiblah Hujan Masih Turun (^_~)















iena eliena
Nukilan,

iena eliena
Instagram : @ienaeliena
Twitter : @ienaeliena
Email : iena@ienaeliena.com




0 comments:

Post a Comment

Powered by Jasper Roberts - Blog

Archieve